Friday, April 21, 2006

Ibu bapa perlu berganding bahu didik, tarbiah anak

Dapat ni dari member ofis...rasa bagus jer kalau dapat share kat sini..untuk panduan bersama dalam membesarkan anak-anak.


SEBAGAI ayah dan ibu yang hatinya dipenuhi dengan limpahan rahmat Allah, kita menjadi orang yang paling kasih kepada anak. Begitu sebaliknya, apabila Allah SWT mencabut rahmat-Nya dari hati manusia. Dia akan berubah menjadi seorang yang kasar dan tiada belas kasihan. Bahkan, ada yang tidak bertanggungjawab dalam mengasuh anak-anak.


Alhamdulillah, kita patut bersyukur jika wujud perasaan takut dan risau disebabkan perkembangan kehidupan anak. Percayalah juga bahawa perasaan itu saja tidak cukup untuk menyelamatkan mereka. Kadang-kadang kita berasa memenuhi segala kriteria seorang ibu atau bapa mithali. Tetapi, sebenarnya belum mengerahkan segala daya dan upaya untuk menjamin kesolehan anak.


Kita terkejut mendengar anak saudara menghafal al-Quran beberapa juzuk, sedangkan anak sendiri masih belum habis belajar membaca Iqra'. Kita kagum melihat kejayaan anak orang lain dan pergaulan dalam rumah mereka yang mementingkan kerukunan dan akhlak baik, sifat lemah lembut dan bersopan santun, saling menghormati dan menyayangi. Bagaimana dengan anak kita?


Mengapa anak selalu mempermainkan perasaan ibu bapa? Kita boleh bahagia dan sengsara disebabkan perbuatan mereka. Jika seorang manusia dikurniakan seorang anak, sebenarnya dia boleh membaca tingkah lakunya sendiri di dalam peribadi anaknya. Kerana ibu bapa adalah cermin hidup bagi seorang anak.


Jika difahami konsep ini, kita akan berusaha untuk banyak bersabar dengan sikap anak. Mereka belajar daripada diri kita. Mereka membaca pemikiran dan perasaan ibu bapa dan secara tidak langsung mengikuti apa yang dilakukannya. Sebelum, memperbetulkan peribadi anak, eloklah perbaiki dulu apa yang cacat dalam diri sendiri.

Ingatlah syaitan sentiasa menghasut supaya kita mengambil tindakan bodoh dalam menghadapi anak. Ramai ibu bapa terperangkap dalam nafsu amarah yang tidak terkendali ketika menghadapi kenakalan anak. Sikap sedemikian amat disukai syaitan. Akibatnya bertambah kesat perkataan yang masuk ke telinga. Bertambah biadab kita menghentam dan menghina, padahal di situlah mereka belajar bertindak. Begitulah hembusan syaitan yang meracuni keperibadian anak kita.


Alangkah beratnya tanggungjawab ini. Anak dan cucu kita itulah nanti yang sebenarnya akan memastikan syariat Allah tetap terpelihara. Berdoalah dalam sujud yang panjang pada sepertiga malam: "Ya Allah! Jadikanlah mereka hamba-hamba-Mu yang menyembah-MU di atas bumi ini, jadikanlah mereka penerus risalah Nabi-Mu, penolong agama-Mu dan pemberi syafaat pada diri kami di dunia dan akhirat dan jauhkanlah mereka daripada gangguan syaitan yang terkutuk."


Ujian ini perlu dihadapi bersama bukan terletak pada bahu salah seorang daripada ibu atau bapa. Ibu dan bapa saling berganding bahu. Didiklah mereka, ajarkan al-Quran, al-hadis, akhlak dan adab. Bekalkan ilmu dunia, tanamkan iman dan galakkan mereka beramal soleh. Bukan menengking dan mengarah saja. Bahkan, Islam mengajar kita untuk mentarbiah, menyelami perasaan dan jiwa serta mengubati kebencian dengan cinta dan memaafkan.

Mendidik dengan cara mengajak bersama-sama melakukan apa yang dicita-citakan. Berwaspadalah dengan diri sendiri ketika berhadapan dengan anak. Ini kerana anda boleh berubah menjadi orang yang paling bodoh walaupun ijazah doktor falsafah dalam genggaman. Bodoh kerana tidak mahu memahami, tidak mahu bersabar, tidak mahu memaafkan dan tidak memberi peluang kali kedua. Bukankah mereka hanya anak yang belum sempurna ciri kemanusiaannya. Sedangkan kita adalah manusia dewasa yang lebih berakal dan matang.


Sesungguhnya kesan cinta yang paling dirasakan oleh seorang anak adalah ketika dia menerima sentuhan pada hati, zahir dan dalam akal. Sentuhan itu mengandungi ilmu, nasihat dan pujian yang membangkitkan keperibadian.

Jika anak dididik dengan kasih sayang, dia akan belajar menyayangi. Jika anak diajar dengan kekasaran, dia akan belajar melawan dengan kekerasan. Jika anak dihormati, dia akan menjadi orang yang berbudi. Jika anak dikeji, dia akan belajar mencaci. Jika anak dibohongi, dia turut belajar untuk memanipulasi. Jika anak diajar berdikari, dia akan membina integriti diri. Jika anak tidak dipeduli, dia menjadi keras hati dan pantang mengasihi. Semua ini adalah fitrah kehidupan insan yang hidup dengan cara belajar sesamanya. Hanya Allah yang memberi petunjuk ke jalan yang benar.

Ikhtiar yang dilakukan oleh ibu bapa untuk mendidik hendaklah diiringi dengan berdoa kepada Allah supaya dikurniakan sebaik-baik anak yang soleh. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa yang mengajak kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengikutinya. Yang demikian itu tidak akan mengurangi pahala mereka sedikit pun." (Hadis riwayat Muslim)


Ibu bapa yang menyuruh anaknya beribadat, menggalakkan mereka belajar ilmu bermanfaat, memberi teladan baik dengan adab dan akhlak terpuji akan dibalas dengan pahala berterusan hingga ke dalam kubur. Kerana solat anak itu adalah berkat daripada jasa ibu bapanya yang mengajarkan. Demikian juga bacaan al-Quran, ilmu dan akhlaknya. Semuanya menjadi saham terbesar bagi mereka.


INTI PATI

· Ibu bapa perlu banyak bersabar dalam memahami dan menangani kerenah anak.

· Ibu bapa memikul tanggungjawab yang amat besar dalam memastikan syariat Allah tetap terpelihara.

· Ibu bapa hendaklah sentiasa berwaspada dalam mendidik anak-anak kerana mereka mengambil contoh daripada amal dan perbuatan ibu bapa.

· Anak-anak hendaklah dididik dengan kasih sayang dan rasa hormat serta sentiasa berdoa untuk mereka.

· Ibu bapa yang menyuruh anaknya beribadat, menggalakkan mereka belajar ilmu bermanfaat, memberi teladan baik dengan adab dan akhlak terpuji akan dibalas dengan pahala berterusan hingga ke dalam kubur

No comments: